DEMONSTRASI PERTAMA DALAM SEJARAH ISLAM
Setelah timbulnya pemikiran dan firqah Khawarij sehingga terjadinya pemberontakan serta kejadian terbunuhnya Uthman bin ‘Affan radiallahu ‘anhu, ia sangat erat hubungannya dengan demonstrasi. Kronologis kisah terbunuhnya Uthman radiyallahu ‘anhu, ia dirancang oleh golongan Khawarij, dengannya bermula tersebarnya isu-isu fitnah yang dilontarkan kepada Khalifah Uthman yang ditaja dan disebarkan di kalangan kaum muslimin oleh seorang pendita Yahudi Abdullah bin Saba’.
Abdullah bin Saba’ berpura-pura masuk Islam (secara nifak) untuk menipu dan memerangkap umat Islam dalam segala bentuk fitnah. Sememangnya Yahudi amat memusuhi agama Islam dan kaum muslimin. Sikap Yahudi telah dikhabarkan oleh Allah Azza wa-Jalla melalui firmanNya:
لَتَجِدَنَّ اَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِيْنَ آمَنُوا الْيَهُوْدُ وَالَّذِيْنَ اَشْرَكُوْا.
“Nescaya engkau akan dapati orang yang paling memusuhi (murka) kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrikin.” Al-Maidah, 82
Permusuhan kaum Yahudi bermula sejak berkembangnya Islam, seperti mengkhianati perjanjian mereka terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, merendahkan kaum muslimin, mencerca ajaran Islam dan banyak lagi makar-makar (tipu helah) busuk mereka. Namun setelah Islam kuat, tersingkirlah mereka dari Madinah. Lihat: Sirah Ibnu Hisyam, juz 3. Hal. 191-199.
Pada zaman Abu Bakar dan Umar radiyallahu ‘anhuma, suara orang-orang Yahudi hampir hilang, bahkan Umar mengusir mereka dari Jazirah Arab sebagai merealisasikan perintah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa-salam yang pernah bersabda:
لاُخْرِجَنَّ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى مِنْ جَزِيْرَةِ الْعَرَبِ حَتَّى لاَ اَدَعَ فِيْهَا اِلاَّ مُسْلِمًا.
“Sungguh akan aku keluarkan orang-orang Yahudi dan Nasara dari Jazirah Arab sampai aku tidak sisakan padanya kecuali orang muslim. Juga sabda baginda: “keluarkanlah orang-orang musyrikin dari Jazirah Arab!”. H/R. Bukhari
Ditahun-tahun terakhir kekhalifahan Uthman radiyallahu ‘anhu, di waktu kondisi masyarakat mulai heterogen (kemasukan berbagai bangsa), banyak mualaf dan orang awam yang masih belum mendalam keimanan dan ilmunya, maka orang-orang Yahudi mula mengambil kesempatan untuk menyebarkan fitnah. Mereka berpenampilan sebagai muslim (tetapi secara nifak), antara mereka adalah Abdullah bin Saba’ yang diberi julukan Ibnu Sauda.
Abdullah bin Saba’ berasal dari San’a. Dialah yang menaburkan benih-benih fitnah di kalangan kaum muslimin agar mereka iri hati dan benci kepada Uthman radiyallahu ‘anhu. Sedangkan inti dari apa yang dia bawa adalah pemikiran-pemikiran peribadinya yang bernafaskan Yahudi. Contohnya adalah kiasnya yang batil tentang kewalian Ali radiyallahu ‘anhu. Dia berkata:
“Sesungguhnya telah ada seribu nabi dan setiap nabi mempunyai wali. Sedangkan Ali adalah walinya Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Kemudian dia berkata dan terus menabur fitnah:
“Muhammad adalah penutup para nabi sedangkan Ali adalah penutup para wali.”
Tatkala tertanam pemikiran ini dalam jiwa para pengikutnya, mulailah dia menerapkan tujuan utamanya iaitu melakukan pemberontakan terhadap kekhalifahan Uthman bin ‘Affan radiyallahu ‘anhu. Maka dia melemparkan pernyataan pada masyarakat yang bunyinya:
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang tidak layak mendapatkan wasiat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam (kewalian rasul), kemudian dia melampaui wali Rasulullah (iaitu Ali) dan merampas urusan umat (pemerintahan)!”
Setelah itu dia (Abdullah bin Saba’) terus mengeluarkan pembohongan (fitnah):
“Sesungguhnya Uthman mengambil kewalian (pemerintahan) yang bukan haknya, sedang wali Rasulullah ini (Ali) ada (di kalangan kamu). Maka bangkitlah kamu dan bergeraklah. Mulailah untuk mencerca pegawai kamu, nampakkan amar makruf nahi mungkar. Nescaya manusia serentak bangun dan ajaklah mereka kepada perkara ini.” Lihat: Tarikh ar-Rasul juz. 4 hal. 340 ath-Thabari melalui Mawaqif..
Amar makruf nahi mungkar ala Sabaiyah ini sama modelnya dengan amar makruf menurut Khawarij, iaitu keluar dari pemerintahan kemudian memberontak, memperingatkan kesalahan pemerintahan di atas mimbar-mimbar, forum-forum awam dan demonstrasi-demonstrasi yang semua ini mengakibatkan timbulnya fitnah. Masalah pun bukan semakin reda, bahkan tambah menyala-nyala. Fakta sejarah telah membuktikan hal ini. Amar makruf nahi mungkar ala Sabaiyah dan Khawarij ini mengakibatkan terbunuhnya Khalifah Uthman bin ‘Affan radiyallahu ‘anhu. Peperangan sesama kaum muslimin dan terbukanya pintu fitnah berterusan dari zaman Khalifah Uthman sampai kezaman kekhalifahan Ali bin Abi Talib radiyallahu ‘anhu. Lihat: Tahqiq Mawaqif ash-Syahabati fil Fitnati min Riwayat al-Imam ath-Thabari wal Muhaddisin juz 2 hal 342.
Sebenarnya amar makruf nahi mungkar yang mereka gembar-gemborkan hanyalah sebagai label dan perisai belaka tiada keikhlasan padanya. Buktinya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepada Uthman:
“Hai Uthman! Nanti sepeninggalanku Allah akan memakaikan pakaian padamu. Jika orang-orang ingin mencelakakanmu pada waktu malam (di riwayat lain): Orang-orang munafiq ingin melepaskannya, maka jangan engkau lepaskan. (Beliau mengucapkannya tiga kali)” H/R Ahmad dalam Musnad juz 6 hal 75. Tirmizi dalam Sunan dan disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Sunan at-Turmizi.
Syeikh Muhammad Amhazurn berkomentar: “Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa orang Khawarij tidaklah menuntut keadilan dan kebenaran, akan tetapi mereka adalah kaum yang dihinggapi penyakit nifaq sehingga mereka bersembunyi di balik tabir syiar perdamaian dan amar makruf nahi mungkar. Tidak diketahui di satu zaman pun adanya suatu jamaah atau kelompok yang lebih berbahaya bagi agama Islam dan kaum muslimin daripada orang-orang munafiq.”
Inilah hakikat amar makruf nahi mungkar kaum Sabaiyah dan Khawarij. Alangkah serupanya kejadian dulu dan sekarang!
Di zaman ini ternyata ada Khawarij gaya baru, iaitu orang-orang yang mempunyai pemikiran khawarij. Mereka menjadikan demonstrasi, tunjuk perasaan dan sebagainya alat dan metod dakwah serta jihad. Di antara tokoh-tokoh mereka adalah Abdul Rahman Abdul Khaliq (seorang pendukung gerakan Ikhwanul Muslimin), pengikut dan yang sefahaman dengannya yang mengatakan (dalam al-Fusul minas Siyasah asy-Syariyah): “Termasuklah metod atau cara Nabi salallahu ‘alaihi wa-sallam dalam berdakwah adalah demonstrasi atau tunjuk perasaan.”
Sebelum membongkar kebatilan ucapan Abdul Rahman Abdul Khaliq ini dan kesesatan manhaj Khawarij dalam beramar makruf nahi mungkar kepada pemerintahan, marilah kita pelajari dan fahami manhaj Salaf as Soleh dalam perkara ini.
Manhaj Salaf as-Soleh (Golongan Soleh Kurun Terawal) Beramar Makruf Nahi Mungkar Kepada Pemerintah
Allah adalah Tuhan yang Maha Adil. Dia akan memberikan kepada orang-orang yang beriman seorang pemimpin yang arif dan bijaksana. Sebaliknya dia akan menjadikan bagi rakyat yang derhaka seorang pemimpin yang zalim. Maka jika terjadi pada suatu masyarakat seorang pemimpin yang zalim, sesungguhnya kezaliman tersebut dimulai dari rakyatnya. Meskipun demikian apabila rakyat dipimpin oleh seorang penguasa yang melakukan kemaksiatan dan penyelisihan/penentangan (terhadap syariat) yang tidak mengakibatkan ia kufur dan terkeluar dari Islam, maka tetap wajib bagi rakyat untuk menasihati dengan cara yang sesuai dengan syariat. Bukan dengan ucapan yang kasar lalu dilemparkan di tempat-tempat umum (khalayak ramai), apatah lagi mengkhabarkan dan membuka aib pemerintah, yang semua ini dapat menimbulkan fitnah yang lebih besar lagi dari permasalahan yang mereka tuntut.
Adapun dasar memberikan nasihat kepada pemerintah dengan sembunyi-sembunyi adalah hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah dengan suatu perkara; Maka janganlah ia paparkan di khalayak ramai. Akan tetapi hendaklah ia mengambil tangan penguasa dengan empat mata. Jika ia menerima, maka itu (yang diinginkan) dan kalau tidak, maka sungguh dia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia dan pahala baginya (orang yang menasihati).”
Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad al-Khaitysami dalam al-Majma’, Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah. Hadis ini banyak yang meriwayatkannya sehingga kedudukannya sahih bukan hasan, apalagi dhaif sebagaimana sebahagian ulama menyatakannya. Demikian keterangan Syeikh Abdullah bin Barjas bin Nashir Ali Abdul Karim. Lihat: Muamalatul Hukam fi Dhauil Kitab was-Sunnah, hlm. 54.
Dan Syeikh al-Albani mensahihkannya dalam Dilalul Jannah fi Takhriji Sunnah. Hadis ini adalah pokok dasar dalam menasihati pemerintah. Orang yang menasihati jika sudah melaksanakan cara ini, maka dia telah berlepas diri (dari dosa) dan pertanggungan jawaban. Demikian dijelaskan oleh Syeikh Abdullah bin Barjas.
Bertolak dari hadis yang agung ini, para ulama salaf berkata dan bertindak sesuai dengan kandungan hadis ini. Antara mereka adalah Imam asy-Syaukani rahimahullah yang berkata:
“Bagi orang-orang yang ingin menasihati imam (pemimpin) dalam beberapa masalah (lantaran pemimpin itu telah berbuat salah), seharusnya ia tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk di hadapan khalayak ramai. Tetapi sebagaimana dalam hadis di atas, bahawa seorang tadi mengambil tangan imam dan berbicara empat mata dengannya, kemudian menasihatinya tanpa merendahkan penguasa Allah”.
Kami telah menyebutkan pada awal kitab as-Sir:
“Bahawasanya tidak boleh memberontak terhadap pemimpin walaupun kezalimannya sampai puncak kezaliman apapun, selama mereka menegakkan solat dan tidak terlihat kekufuran yang nyata dari mereka”.
Hadis-hadis dalam masalah ini mutawatir, akan tetapi wajib atas rakyat mentaati imam (pemimpin) dalam ketaatan kepada Allah dan tidak mentaatinya dalam maksiat kepada Allah. Kerana sesungguhnya menurut hadis sahih:
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (as-Sailul Jarar)
Imam Turmizi membawakan sanadnya sampai kepada Ziyad bin Kusaib al-Adawi. Beliau berkata:
“Aku di samping Abu Bakrah, berada di bawah mimbar Ibnu Amir. Sementara itu Ibnu Amir sedang berkhutbah dengan mengenakan pakaian nipis. Maka Abu Bilal berkata: Lihatlah pemimpin kita, dia memakai pakaian orang fasik. Lantas Abu Bakrah berkata: Diam kamu! Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Barangsiapa yang menghina (merendahkan) penguasa yang ditunjuk Allah di muka bumi, maka Allah akan menghinakannya.” (Sunnan at-Turmizi No. 2224)