DR ISMAIL IBRAHIM
Oleh yang demikian, saya berasa agak tenteram apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah semata-mata untuk memudahkan penyiasatan lanjut dari kerajaan untuk mengetahui kedudukan sebenarnya. Maka dengan itu beliau meminta supaya ibu bapa dan keluarga para pelajar yang terbabit bersabar menunggu hasil penyiasatan yang dijalankan itu. Hal ini menunjukkan sifat bijaksana dan hikmah yang terdapat pada pimpinan negara kita, yang saya percaya akan memberikan pertimbangan yang amat wajar kepada kes ini, kerana dalam keadaan bagaimana sekalipun, para pelajar ini adalah rakyat negara kita, dan mereka perlu dipandu dan dibimbing untuk menjadi manusia yang baik sekiranya mereka telah menyeleweng atau tersalah arah dalam perjuangan.
Banyak para sarjana Islam, seperti Allahyarham Shaikh Muhammad Al-Ghazali umpamanya menyatakan pandangan mereka bahawa sifat jahil dan kurang ilmu pengetahuan sering mendorong anak-anak muda kita mentafsirkan Islam mengikut persepsi yang agak sempit dan tidak menyeluruh. Beliau memberikan contoh bahawa ketika Islam mengalami era kebangkitannya di sekitar tahun 70-an, iaitu ketika ahli-ahli pertubuhan belia Islam meniupkan semangat kembali kepada Islam dan menyusun agenda kebangkitan Islam atau Islamic revivalism, maka fokus mereka sering kali tersasar dari tujuan yang sebenar.
Beliau memberi contoh bagaimana para belia Islam mentafsirkan semangat kembali kepada Islam dengan memberi penekanan keseluruhannya kepada sifat lahir orang Islam seperti berpakaian ala Arab atau India, dan penampilan wajah dengan gaya janggut atau potongan rambut yang tertentu. Menurut beliau segala sesuatu yang mereka lakukan ini tanpa menumpukan kepada agenda lain yang lebih bersifat ilmu pengetahuan dan berorientasikan pemikiran dan intelektual menunjukkan sikap dan kefahaman mereka tentang Islam yang agak cetek.
Saya tidak berhasrat untuk mengulas pandangan beliau secara menyeluruh. Tetapi sekiranya kita menerima pandangan yang menyatakan bahawa kebangkitan Islam sejak beberapa dekad yang lalu tidak menampakkan kemajuannya yang tinggi kepada umat Islam, maka pandangan itu mungkin dapat kita kaji, terutamanya tentang alasan yang menyatakan bahawa kekecewaan kebangkitan Islam ialah kerana kekurangan ilmu pengetahuan dan melesetnya cara berfikir umat Islam dalam menghadapi kemajuan dunia baru ini.
Maka dalam konteks inilah saya merasakan bahawa para pelajar kita juga telah dipengaruhi oleh beberapa elemen yang tertentu sekiranya benar bahawa para pelajar kita di Pakistan itu telah dibawa menyertai gerakan militan dan keganasan. Hal ini berkemungkinan berlaku demikian kerana pada masa-masa yang terakhir ini tekanan dan penindasan ke atas umat Islam adalah terlalu tinggi dan kejam. Maka dalam situasi ini, emosi manusia amat mudah dikuasai dan dipengaruhi, dan ketika inilah anak-anak muda Islam akan diajak berjihad dalam erti kata berjuang dengan menggunakan kekerasan untuk menghapuskan unsur-unsur jahat yang menganiayai umat Islam.
Apabila emosi anak-anak muda kita telah dibangkitkan sebegitu rupa dengan menjustifikasikan pula gerakan yang berlandaskan kekerasan, maka mereka yang berdarah muda dan panas tentulah amat mudah dipengaruhi dan diseret ke dalam satu bentuk perjuangan secara ganas. Maka mungkin di sinilah terbukti kebenaran pandangan Shaikh Muhammad Al-Ghazali bahawa para belia dan anak muda Islam amat mudah mengambil sesuatu keputusan dalam mencorakkan agenda perjuangan mereka sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup dan tidak sebenar-benarnya memahami ajaran dan hikmah syariat Islam yang sejati dalam merangka perjuangan yang berasaskan agama dan al-Quran.
Oleh itu sekiranya pada tahun-tahun 70-an, anak-anak muda kita mempunyai cara mereka yang tertentu dalam mengisi semangat kebangkitan Islam ketika itu, maka pada era baru ini, terutamanya ketika pihak imperialis Amerika dan Eropah serta gerakan Zionisme antarabangsa mengenakan tekanan dan penindasan yang kejam ke atas masyarakat Islam, maka agenda perjuangan dan tindak balas orang Islam juga mengalami perubahan, dan ketika inilah semangat jihad yang diselewengkan itu telah ditiupkan dengan begitu rupa ke dalam hati sanubari anak muda kita. Akibatnya anak-anak muda kita sering terperangkap ke dalam agenda pihak tertentu yang ingin menegakkan perjuangan mereka di atas landasan kekerasan.
Sentimen melampau
Maka apabila perjuangan itu didasarkan kepada kekerasan melulu, ruang untuk pemikiran dan hikmah seperti yang diajarkan oleh agama kita akan menjadi terlalu sempit, atau ada kalanya akan tertutup sama sekali kerana pada ketika itu keseluruhan tindakan akan hanya berasaskan emosi dan sentimen melampau.
Al-Quran sebenarnya mengajar kita supaya menggunakan semua potensi kita untuk menjadi hamba Allah yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat. Allah subhanahu wataala berfirman: Dan Allah melahirkan kamu dari perut para ibu kamu sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu apa pun. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, dan penglihatan, serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur - (Surah al-Nahl, ayat 78).
Ayat ini menjelaskan bahawa ketika manusia dilahirkan ke dunia, iaitu ketika masih bayi, maka ia tidak mengetahui sesuatu apa pun. Sebab itulah Allah menjadikan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran supaya manusia itu mampu belajar dan berfikir, seterusnya menjadi manusia yang sempurna bagi mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Bayi yang baru dilahirkan akan hanya mampu mendengar melalui deria pendengaran. Sebab itulah agama kita meminta supaya diazan atau disuarakan iqamat di telinganya, supaya ungkapan pertama yang didengarnya di celah-celah tangisannya, ialah kalimah yang menyatakan kebesaran Allah dan rasul-Nya.
Pada tahap yang kedua, bayi akan dapat melihat melalui matanya, dan selepas beberapa tahap pembesarannya, bayi itu akan menjadi manusia yang dapat berfikir dengan akal fikirannya. Maka semuanya ini merupakan tahap-tahap kurniaan Allah kepada manusia supaya manusia akan dapat belajar melalui pendengaran dan penglihatan, dan seterusnya dapat menggunakan potensi minda dan akal fikirannya ke tahap yang paling maksimum.
Hakikat inilah sebenarnya yang dapat kita saksikan dalam perkembangan ilmu teknologi ciptaan Barat sebagai alat pembelajaran bagi manusia dalam mendapatkan ilmu pengetahuannya. Teknologi maklumat umpamanya dimulai dengan alat ciptaan yang berasaskan pendengaran atau audio. Pada tahap itu manusia mencipta radio, telefon dan sebagainya yang berasaskan pendengaran. Setelah sekian lama masa berlalu, manusia mulai mencipta alat yang berasaskan penglihatan seperti filem bergerak yang dapat disaksikan dengan mata, dan kemudiannya alat ini berkembang menjadi filem yang ditayangkan dengan segala kecanggihannya, peti televisyen dan sebagainya.
Maka pada masa ini kemajuan ilmu teknologi dan komunikasi atau ICT telah mencapai satu tahap kemajuan yang amat tinggi dengan ciptaan komputer yang mampu menguasai keseluruhan potensi manusia dalam mencari dan menyumbang ilmu pengetahuannya yang luas kepada dunia umumnya. Asas ilmu ini ialah pendengaran, penglihatan, pengamatan, kajian, eksperimen, dan seterusnya penggunaan akal fikiran yang sememangnya amat luas dan dalam.
Segala kemajuan ilmu teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih dalam alam kita pada hari ini, adalah merupakan pengisian dan terjemahan bagi ayat al-Quran yang pendek yang saya sebutkan di atas, iaitu bagaimanakah manusia ini sepatutnya mempergunakan segala nikmat dan potensi kurniaan Allah kepada mereka untuk menjadi manusia yang sempurna, iaitu dimulai dengan pendengaran dan diikuti dengan penglihatan, kemudian semuanya itu akan dicernakan oleh akal fikiran mereka yang tinggi seperti yang dikehendaki Allah.
Persoalannya apakah kita umat Islam benar-benar memahami ayat ini, atau benar-benar telah mengkajinya untuk menentukan bahawa kehidupan kita di atas muka bumi ini telah berjalan di atas sunah dan undang-undang yang ditentukan oleh Allah sendiri? Jawapannya mungkin tidak, iaitu kita mungkin merupakan umat yang amat ketinggalan jauh dalam menggunakan segala kurniaan Allah kepada kita, sebaliknya umat lain yang memanfaatkan kurniaan Allah itu, maka kerana itulah kita menjadi umat yang tidak berilmu, dan amat lumpuh dalam berfikir, lalu akibatnya kita sering menjadi umat yang gopoh, emosional, taksub dan sebagainya. Dengan itu umat Islam akan mudah dipermain-mainkan, dieksploitasi dan diperangkap dalam berbagai-bagai perangkap yang amat merugikan kita.
Maka atas dasar inilah Allah subhanahu wataala amat murka kepada makhluk-Nya yang tidak mahu menggunakan nikmat kurniaan-Nya kepada mereka seperti firman-Nya: Sesungguhnya telah Kami (sediakan) neraka jahanam kepada ramai daripada (kalangan) jin dan manusia, iaitu mereka yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata, (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya. Mereka itu adalah seperti haiwan ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai - (Surah al-A'raf, ayat 179)
Maksudnya manusia yang tidak mahu belajar, mengkaji dan memahami hakikat segala ilmu yang disediakan Allah di atas muka bumi ini adalah lebih buruk kedudukannya daripada haiwan ternakan, dan lebih sesat lagi. Saya amat ragu, apakah hal ini kita memahaminya, dan apakah hal ini telah kita terjemahkan di dalam kehidupan kita.
Dengan itu masanya telah tiba untuk orang Islam menyusun agenda pemikirannya yang baru, dan meningkatkan tahap pemikiran serta mentalitinya sesuai dengan penegasan al-Quran tentang mutu pendengaran, penglihatan dan akal fikiran manusia yang begitu tinggi.
Hakikat inilah yang telah saya tegaskan dalam tulisan saya yang lalu, bahawa kita perlu meninjau dan mengkaji semula cara kita mendidik anak-anak dalam memahami agama dari segala sudut falsafah, hikmah, nilai dan kefahamannya, agar kita benar-benar mendapat ilmu dan hikmah dari pendidikan agama yang mantap itu.
Kini, kita sendiri telah dapat melihat bagaimana ajaran agama yang tidak berasaskan ilmu dan hikmahnya, telah berjaya menyelewengkan akal fikiran dan kefahaman para pelajar dan anak muda kita sendiri, satu hal yang menuntut dan mendesak kita bagi melakukan sesuatu.
0 thoughts from optimists:
Post a Comment