Salam Palestin,
Sempena kedatangan bulan mulia, Rabiulawal 1432, saya berhasrat untuk menitipkan beberapa butiran penting mengenai nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Inilah bulan di mana umat Islam seluruh dunia akan memenuhkan masa mereka untuk bersama-sama mengingati kelahiran baginda yang tiada lagi kelahiran seagung kelahirannya.
Justeru keraian yang menyatukan umat Islam ini amatlah wajar dihargai dan dimanfaatkan. Ia hendaklah disusun dan diprogramkan dengan kaedah yang betul pada syariatnya dan besar pula pada hasil dan kesannya untuk kita semua.
Amatlah rugi, di saat umat Islam yang begitu lemah dan terpecah-pecah kesatuannya, dengan mereka bersedia untuk menitipkan masa kosong mereka dan disatukan oleh bulan yang mulia ini, jika kita tidak berkerja pula untuk menjadikannya satu kuasa pencetus kepada perubahan yang mesti umat Islam lakukan.
Ini kerana RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah menduduki kemuncak kejayaan umat manusia sepanjang zaman di dalam membina tamadun dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Menjadi umatnya adalah nikmat tak terperi yang tidak merasainya kecuali mereka yang diharamkan daripada menikmati kebahagiaan sejati di dunia ini.
Baginda adalah nabi. Nabi adalah utusan Allah yang menghubungkan bumi dengan langit. Kenabian adalah pemecah tembok alam ghaib yang asyik mengurung manusia di alam zahir yang begitu sempit. Tanpanya manusia hanya menjadi pakar buat menujum masa depan dan menjadi penglipur lara mengisah zaman lampau yang kelam. Baginda mengobori akal dengan memandunya merentasi jalur-jalur kejahilan yang memaksa manusia hidup merajakan tuhan sementara bernama nafsu dan syahwat. Akal kemanusian akhirnya dibawa menemui Allah dan itulah saat manusia mula mengenali kebahagian dan kehidupan yang hakiki.
Dengan berbekalkan wahyu dan pengarahan langsung daripada Allah, RasuluLlah akhirnya berjaya mengetuai perubahan dan membina halaman baru untuk kehidupan manusia yang begitu cemerlang. Kota Madinah terbina selepas belasan tahun baginda berjuang memecahkan tembok kejahilan, kezaliman dan kedegilan manusia untuk kekal menikmati kehidupan di jurang kemurkaan dan neraka Allah. Di Madinah, walaupun 10 tahun adalah pendek tempohnya, para sahabat baginda telah dilumatkan dengan pengajaran-pengajaran yang bertindak cemerlang sebagai obor yang menerangi kehidupan dan sebagai penawar yang menyembuh kesakitan.
Lahirlah selepas baginda para sahabatnya yang telah bersedia untuk misi menyambung misi kenabian. Mereka segera keluar dari kota Madinah dengan kepayahan memendam rasa cinta kepada bumi rahmat dan keadilan demi memenuhi amanah agung RasuluLlah agar agamanya segera berkembang sampai ke kaki matahari di timur dan barat.
Akhirnya, dunia bersinar dengan nikmat Islam. Manusia berpindah daripada kegelapan kepada daerah cahaya yang gemilang. Sehingga hari ini dan sampailah kiamat, cahaya Islam terus menerangi dan menjadi pilihan untuk manusia mencapai kebahagiaan hakiki dalam kehidupan.
Atas nikmat agung yang dibawa oleh baginda yang telah begitu mengubah haluan kehidupan jahiliyah manusia itulah, baginda dicintai manusia. Cinta terhadap RasuluLlah adalah cinta yang terlalu agung dalam sekelian cinta manusia.
Baginda bukan sekadar menjadi tumpuan cinta manusia bernyanyi dan bertasbih di sekelilingnya, bahkan bagindalah guru yang mengajar makna cinta. Intinya, cinta duniawi ditakuti kehilangannya. Maka ia berakhir dengan kesedihan dan kehancuran. Cinta Allah diharapkan dan dinantikan pertemuannya. Maka ia akan kekal dan terus mekar selama-lamanya. Cinta duniawi sentiasa menjunam ke bawah, sedang cinta Allah sentiasa memuncak menuju puncak. Justeru sebarang cinta tanpa nilai agama adalah bohong dan hina sekali.
Cinta kepada RasuluLlah adalah benar dan syar’ie. Tiada yang berusaha menanam bibit cinta terhadap baginda kecuali akan turut dicintai Allah dan diganjari dengan pahala yang banyak. Allah menjadikan cinta al rasul sebagai syarat kesempurnaan keimanan seseorang hambaNya. Jadi, bayangkanlah betapa besarnya nilai cinta terhadap RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Mengapa cinta kepada RasuluLlah dijadikan syarat kesempurnaan, bahkan kesahihan iman seseorang kepada tuhannya? Tidakkah mencintai Allah itu sudah mencukupi?
Mari kita perhatikan tiga hikmah berikut; Pertama, pendakwa iman dan cinta kepada Allah adalah ramai dan dipenuhi pembohongan. Kaum Yahudi dan Nasrani misalnya adalah contoh klasik cinta palsu kepada Allah. Justeru menurut Islam, pemisah iman dan kufur bukanlah pada pengakuan beriman kepada Allah, bahkan pada perakuan beriman kepada kerasulan Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.
Walau pun ketuhanan Allah itu diperakui ramai manusia, tetapi mereka tetap memerlukan ilmu yang benar, asli dan hakiki untuk mengenaliNya. Jika tidak, manusia, walaupun mengakui ketuhanan Allah, akan terus meraba-raba dalam menyembah Allah yang kabur pengenalanNya. Justeru keimanan kepada kerasulan al Rasul adalah syarat dan pemisah yang akan memastikan Allah itu dikenali daripada sumber yang betul. Cinta al rasul pula adalah sebahagian cabang dan syarat iman.
Kedua, cinta al rasul akan menjadi neraca kepada cinta manusia sesama manusia. Cinta kepada Allah adalah esa. Cinta Allah adalah kerana hakNya sebagai tuhan yang mencipta segala dan mengurniai makhluknya dengan kenikmatan hidup. Ia cinta tanpa bandingan dan tiruan.
Adapun cinta sesama manusia, maka ia atas dasar saling melengkapi dan memerlukan. Bukan cinta namanya jika hanya bertepuk sebelah tangan. Itu azab namanya. Kemudian, manusia sering terjerumus ke lembah cinta buta yang melanggar batas dan merosakkan nilai murni kalimah cinta. Ia disebabkan kegagalan manusia mengukur dan memagar ruang dan laman cinta yang berbuah dan bermanfaat sesama mereka.
Justeru agama Islam meletakkan satu neraca dan garisan untuk cinta itu bersemi, tumbuh dan mekar dengan semburan harumannya yang menghangatkan kebahagiaan hidup. Cinta RasuluLlah itulah neraca kepada segala cinta. Dengan melihat kelebihan-kelebihan yang menghiasi baginda, maka sesiapa yang memiliki sebahagiannya wajarlah dicintai dan kecintaan itu pasti menghasilkan buah yang manis. Antaranya, mencintai ibu bapa dan para guru. Bukankah nabi kita adalah bapa dan guru mithali?
Ketiga, cinta al rasul adalah permulaan dan pemacu kepada kewajiban taat kepadanya. Ia adalah pelorongan kepada kewajiban yang paling utama selepas beriman kepada kerasulan, iaitu kewajiban mentaatinya. Inilah kewajiban yang menjadikan ramai manusia yang terkandas di medan ujian Allah.
Taat adalah sukar. Manusia sering berbangga dan ego dengan segala kelebihan dan kekuasaan dalam dirinya. Mereka tidak akan taat dan tunduk kecuali kerana terpaksa dan terlalu lemah untuk melawan. Semata-mata beriman kepada RasuluLlah bukan satu kesukaran berbanding sukarnya mentaati baginda selepas itu.
Oleh kerana ketaatan kepada al rasul adalah wajib, maka ia mestilah dipupuk secara semulajadi yang akan mendatangkan kesan yang mujarab. Memekarkan sebab-sebab yang mendorong manusia untuk begitu mencintai nabi adalah senjata paling berkesan untuk memaksa manusia mentaati RasuluLah. Bukankah pemabuk cinta akan mendengar dan menuruti apa saja demi mencapai redha orang dicintainya?
Jika kita memahami hikmah -hikmah pensyariatan cinta al rasul di atas, jelaslah kepada kita betapa cinta al rasul itu adalah kelebihan yang menarik pelbagai kelebihan lagi selepasnya. Hangatkanlah cinta al rasul di bulan kelahiran nabi agung ini.
( Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah )
0 thoughts from optimists:
Post a Comment