200x200

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد

Jami'. Jamaah. Keperluan berjamaah. artikel dr seorang sahabat.

Tuesday, December 28, 2010
Bismillahi walhamdulillah.

Ingin berkongsi satu artikel oleh seorang sahabat.

Maafkan saya kerana sekadar berkongsi. Diri butuh menulis untuk diri sendiri, namun saya sedar tidak cukup jika saya hanya menulis dengan tangan. Kadang kala tak sanggup untuk menambah amanah lagi. Tulisan yang akan menjadi amanah. Ditambah dengan amanah sedia ada dalam menunaikan amanah untuk memenuhi jiwa, hati, minda, dan akhlak dengan baik. Amanah menjaga hubungan dengan Allah, juga sesama manusia. Amanah dengan ibu ayah, ukhuwah bersama sahabat semilik, ukhuwah dengan BFF, dengan sahabat seusrah, saudara seIslam. Maafkan aku. Maafkan aku. Maafkan aku. Maafkan aku andai ade hak yg masih belum dipenuhi. N harapanku, marilah kita saling membantu untuk perkara kebaikan dan taqwa. Perkara yg menjauhkan dr azab neraka. Pkara yg menjamin hidup yg bahagia di sana nanti. Sama-sama doakan. Doakan aku terus faham dan mampu untuk teruskan kebaikan. Teruskan kebaikan bersama-sama! Kita semua mampu. Pasakkan niat, and insyaALlah you will find your way..

Untuk artikel kat bawah ni, kredit untuk saudara Ahmad Ikhwan.

Keperluan Untuk Berada Dalam Keadaan Berjama'ah



Dalam dua tiga minggu ini, kepala agak sarat dengan perbincangan dan pemikiran berkisar tentang perkara ini. Masalah kerumitan bertambah semakin tegang apabila anasir yang cuba menyeleweng daripada kesucian hati mulai menapak dalam hati dan pemikiran.

Mungkin saya dilihat berjiwa besar dan idealistik, dan begitulah jua harapan dan doa kepada ALLAH agar kekuatan tersebut dapat diperoleh dalam jangka masa yang konsisten. Agak kasihan terasa di hati kepada sahabat-sahabat dan adik-adik yang masih tidak berupaya mendapatkan suatu bentuk kefahaman yang lebih matang dalam menghadapi isu picisan ini.

Jama'ah-jama'ah yang ada mempunyai sifat dan pendekatan masing-masing. Semua jama'ah yang berpegang kepada 'aqidah ahli sunnah wal jama'ah ialah saudara kita yang kita cintai kerana kesatuan 'aqidah dan perkara usul yang sama dan satu. Tuhan yang sama, Nabi yang sama, kitab yang sama, qiblat sama dan ideologi "Tiada Tuhan Selain ALLAH" yang sama. Boleh saya katakan, selagi mana semuanya bekerja kepada agama ALLAH secara haq, selagi itulah kita wajar bekerjasama dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Saya bersikap begitu positif dengan harapan tinggi agar kesemua jama'ah berperanan pada peringkat masing-masing dengan penuh iltizam. Kita tidak ada masa untuk masih lagi menaikkan kebenaran kononnya hanya milik jama'ah kita sahaja. Saya tidak ingin membangkitkan isu lapuk dan klasik ini, tetapi ingin mengemaskan pendirian yang sewajarnya kita ada. Apa yang sangat menyebabkan hati saya berasa tidak tenteram ialah apabila terkeluarnya kata-kata daripada fahaman sempit dan agak keterlaluan daripada kelompok yang tidak memahami hakikat "jama'ah" itu sendiri. Ada yang mengatakan pihak lain itu sesat, ada juga menyatakan mereka bukan harakah Islamiah tetapi parti politik, ada yang mengatakan suatu kumpulan itu adalah bersifat lalang, tidak jelas pendirian dan berbagai-bagai lagi bentuk dakwaan dan label yang saya berasa sangat tidak tenteram apabila mendengarnya.

Benar sungguh sabda Nabi, keseluruhan tindak-tanduk itu berpunca daripada keadaan hati. Dapat saya katakan, hampir tidak dapat lari daripada kebiasaan apabila saya bertanyakan pendapat sahabat-sahabat yang ditemui apakah pendapat mereka tentang kewujudan banyak platform pergerakan Islam, mereka akan menjadi cenderung untuk menaikkan kelebihan sendiri dan memaklumkan kelemahan pihak yang lain. Saya berandaian bahawa pihak sebegini mungkin telah terpesong dan terperangkap dalam jerat ruhaniah yang mengheretnya kepada kecacatan hati. Mereka lebih dekat kepada perasaan ta'asub, ujub, sum'ah, kibr, riyak dan sebagaimananya. Hati ini sentiasa merintih kesedihan mengapa masalah kecilan ini tampak agak sukar untuk dinyahkan daripada jiwa-jiwa yang ingin bekerja untuk agama ALLAH ini.

Mahu tidak mahu, kita perlu juga memilih jama'ah kita yang tersendiri untuk memberikan iltizam kepada Islam. Saya juga berhadapan dengan dilema dalam memilih. Perasaan cinta dan sayang kepada wadah-wadah Islam di negara ini menyebabkan pilihan begitu sukar untuk dilaksanakan. Namun, jika telah diberikan ilham oleh ALLAH s.w.t. hasil daripada solat sunat istikharah, maka pilihan itu wajar dilakukan sepenuh hati. Saya lebih berasa tenang untuk beranggapan semua jama'ah di Malaysia ini ibarat satu pasukan tentera Islam yang besar. Masing-masing diamanahkan oleh panglima perang Islam untuk memberikan pengkhususan kepada bahagian masing-masing. Ada yang menjaga bahagian perisikan, perubatan, artileri, infantri, renjer, kawalan udara, kawalan laut, semboyan, lojisitik, grup tentera elit (komando) dan berbagai-bagai lagi unit khusus dalam angkatan tentera. Semuanya berperanan dalam peperangan dengan tujuan yang sama.

Kita dituntut untuk berada dalam jama'ah. Saya merujuk kepada penulisan Al-Fadhil Ustaz Haji Yahya Othman dalam buku beliau yang berjudul 'Amal Jama'i (Pengertian dan Tuntutannya).

Dalil yang menunjukkan wajibnya berjemaah:

1.

"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana `Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: `Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?` Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: `Kamilah penolong-penolong agama Allah`, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir, maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang."

Surah As-Saff ayat 14.

2.
"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."

Surah Saff ayat 4.

3. Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. berkata: Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Wajiblah ke atas kamu bersama-sama jama'ah Muslimin dan pemimpin mereka."

(Muttafaq 'alaih)

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti serigala kepada kambing yang menangkap mana-mana yang jauh dan terpencil. Maka jangan kamu memencilkan diri dan hendaklah kamu berjama'ah dan mencampuri urusan orang ramai seperti menghadiri masjid."

(Hadits riwayat Ahmad bin Hanbal)

5. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada jama'ah sekadar sejengkal, sesungguhnya ia telah menanggalkan Islam daripada lehernya, sekalipun ia bersolat, berpuasa dan menyangka dirinya seorang Islam."

(Riwayat al-Tirmidzi,al-Nasa'i dan Ibnu Hibban. Dan berkata Al-Hakim:Sahih menurut syarat al-Bukhari.)

Demikianlah beberapa dalil naqli yang telah disusun oleh 'ulama dalam usaha untuk memberikan kefahaman kepada kita berkaitan kepentingan kebersamaan dengan jama'ah. Pendek ceritanya, memang sangat banyak manfa'atnya. Insya ALLAH, bersama-sama kita membentuk kefahaman yang benar, mendalam, matang dan jelas dalam usaha melibatkan diri dengan jama'ah umat Islam.

Sekian.

--
Jazakumullah khair al-jazaak (Semoga Allah memberikan anda sebaik-baik balasan kebaikan)

Ya Allah, tetapkan kami dalam istiqamah dan keikhlasan serta kurniakan kami hasanah di dunia dan di akhirat.


Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki

*****



0 thoughts from optimists:

Post a Comment